Ketua Tempat Mengundi, Mohamed Farid Harun (kiri), membuka peti untuk membuat pemeriksaan terakhir peralatan bagi proses mengundi pada hari ini.
YAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan jumlah pengundi yang keluar mengundi pada PRK Dun Sungai Limau hari ini meningkat.
Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, peningkatan itu berdasarkan suasana kempen yang berlangsung memperlihatkan semangat yang tinggi dalam kalangan penduduk.
Katanya, peningkatan itu akan mencapai lebih 90 peratus berbanding 89 peratus pada PRU13 Mei lalu.
“Jumlah peningkatan itu dilihat berdasarkan beberapa faktor termasuk semangat kempen secara aman dan bersifat kekeluargaan serta tiada sebarang provokasi melampau sepanjang tempoh berkempen.
“Sepanjang kempen kita tidak menerima sebarang aduan mengenai mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya pada sidang media ketika hadir pada proses semakan terakhir peralatan dan persiapan petugas SPR, di Dewan Datuk Madi, dekat sini, semalam.
Abdul Ghani berkata, pengundi diminta keluar mengundi seawal jam 8 pagi hingga jam 5 petang secara berperingkat.
“Kita minta pengundi tidak keluar secara serentak bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas.
“Kita harap proses mengundi dapat dijalankan dengan tenang tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Seramai 499 petugas SPR akan memantau perjalanan PRK kali ini termasuk 116 anggota polis yang akan mengawal di setiap saluran.
Menurut Abdul Ghani, PRK Dun Sungai Limau membabitkan 17 pusat mengundi dengan 58 saluran.
“Setiap saluran akan diawasi dua anggota polis. Manakala pengiraan undi akan dilakukan di setiap saluran.
“Sementara pusat penjumlahan undi pula akan berlangsung di Sekolah Menengah Agama Yan (SMAY) dan kita menjangkakan keputusan akan diumumkan sebelum jam 10 malam,” katanya.
Posting Komentar